Teks Titah Diraja sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14

admin

 242,975 

 

Ahli-ahli yang berhormat.

 

Pada 24 Februari 2020 yang lalu, naratif landskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

 

Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama, beta telah berkenan menerima menghadap yang berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad.

 

Dalam pertemuan tersebut, beta telah meminta yang berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohammad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya.

 

Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang perdana menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

 

Perkara 43 memberi kuasa budi-bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan rakyat.

 

Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020, beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

 

Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.

 



 

Atas permintaan beberapa ketua parti politik, beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.

 

Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujung-nya.

 

Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

 

Sesungguhnya, beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita.

 

Pada masa yang sama, beta juga menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli-ahli yang berhormat dan rakyat jelata yang telah memain-kan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga memboleh-kan beta menggalas amanah ini.

 

Kepada kerajaan beta di bawah kepimpinan mamanda perdana menteri yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin, beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan.

 

Nasihat beta, laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share news in social media