Semakin ramai bayi Rohingya lahir di Malaysia

admin

 1,418,644 

Dianggarkan kira-kira 180,000 etnik Rohingnya yang berdaftar dan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) tinggal di Malaysia. Bagi angka pelarian pendatang tanpa izin (PATI) Rohingnya pula dianggarkan hampir mencecah 2 kali ganda tahun ini.

 

Data UNHCR menunjukan daripada jumlah pelarian serta pencari suaka di Malaysia ini, seramai hampir 46,740 pula adalah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun. Total kelahiran bayi Rohingya di negara ini semakin meningkat dari tahun ke tahun, sudah tentu kita tertanya-tanya apakah kesudahannya nasib pelarian ini.

 

Kebanyakan bangsa Rohingya ini menetap di bandar-bandar besar terutamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi lubuk mata pencarian bagi mereka.

 

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara dalam wawancara bersama sidang media meluahkan kebimbangan beliau dan menyatakan ketika ini, kerajaan hanya membenarkan mereka tinggal sementara di negara ini dan akan menghantar pulang secara berperingkat setelah berakhirnya krisis wabak Covid-19.

 

“Kita tidak boleh lakukan sesuatu yang drastik atau hantar balik seperti saranan segelintir pihak. Negara asal mereka iaitu Myanmar tidak iktiraf kewarganegaraan mereka. Jadi siapa yang akan melindungi mereka di saat Covid-19 ini?

 

“Negara kita membenarkan mereka tinggal sementara atas dasar prinsip kemanusiaan sehingga satu masa akan datang, yang kita pasti bukanlah dalam masa terdekat. Lagi-lagi ketika sedang melalui fasa sukar pandemik Covid-19 ini.

 

“Negara jiran kebanyakan mereka sudah menutup sempadan jadi siapa hendak ambil mereka beramai-ramai? Semua negara sedang cuba mengawal populasi, masalah sosial serta berusaha keras menangani wabak  Covid-19 ini.

 

“Saya mendapat tahu bayi dalam kalangan Rohingnya yang lahir untuk tahun ini sahaja memang sangat tinggi. Saya tidak boleh dedahkan apa-apa angka lain sebaliknya biar pihak berwajib untuk menyebutnya.

 

“Kita ada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen dan sebagainya, mereka amat arif dengan angka, statistik dan sebagainya. Jadi, saya hanya fokus di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan yang sememangnya di bawah tanggungjawab saya.

 

“Antara lokasi yang telah didominasi oleh Rohingnya di WP Kuala Lumpur termasuklah Pasar Borong Selayang yang kini viral di media sosial sebagai Little Myanmar juga di bawah perhatian Kementerian kami. Untuk pengetahuan, di lokasi itu sahaja warga Rohingnya sudah mencecah sehingga 15,000 orang,” katanya.

 

Sekolah Pelarian Rohingya Al-Ikhlas Selayang, Selangor

 

Beliau juga turut melahirkan rasa hairannya terhadap negara-negara yang mempelopori UNHCR serta lantang memperjuangkan hak asasi pelarian di negara Malaysia. Tetapi, enggan pula memberikan perlindungan kepada golongan Rohingnya di negara mereka sendiri.

 

“Mengapa tidak negara Eropah seperti Switzerland, Itali mahupun Paris mengambil pelarian ini, beri penempatan sementara sehinggalah negara ketiga dikenalpasti oleh UNCHR?

 

“Masing-masing bersuara lantang dengan penuh rasa kemanusian. Jadi mengapa tidak negara kamu sendiri yang mengambil pelarian etnik Rohingya ini? Saya tidak faham sama sekali.

 

“Saya beri contoh ya, jika ada 50 negara yang membantu dalam isu etnik Rohingnya ini, masing-masing menyediakan penempatan sementara, jika 5,000 orang sebuah negara, jumlahnya sudah cecah sehingga 250,000 orang. Ini termasuklah negara-negara Islam di luar sana. Jadi, perkara ini tidak akan memberi bebanan yang tinggi kepada sesebuah negara.

 

“Ini hanya contoh, mungkin anggaran sebenarnya lebih tinggi. Pelarian Rohingnya pada ketika ini yang tinggal secara ‘haram’ dengan anggaran hampir 400,000 atau lebih sudah ada tempat tinggal.

 

“Kita terima mereka atas dasar kemanusian, jumlah mereka yang ramai menyebabkan kita terpaksa berhadapan dengan isu lain yang akhirnya memberi kesan negatif kepada rakyat kita sendiri,” ujarnya.

 

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.

 

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, hasilnya negara kita tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal selia secara rapi status dan hak pelarian di negara ini.

 

Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, negara masih menghadapi krisis masalah kemasukan pelarian ini. Pengurusan yang efektif perlu dilaksanakan supaya masalah ini tidak membebankan negara dalam masa jangka pendek dan panjang. Sikap prihatin dan kemanusian juga perlu diiringi dengan ketegasan agar negara kita tidak dijadikan mangsa penempatan pelarian Rohingnya ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Share news in social media